KUCHING, 29 April: Golongan wanita dalam kalangan kaum Dayak diingatkan untuk terus memperkasakan ekonomi, pendidikan dan komuniti, kata Menteri Permodenan, Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.
Ingatan sedemikian menurutnya harus didokong oleh pentingnya golongan itu mempamerkan imej yang baik serta menjadi contoh kepada yang lain.
Beliau mengingatkan juga bahawa setiap perbuatan atau tindakan golongan wanita kaum Dayak akan mencerminkan imej komuniti mereka sendiri.
Dalam masa yang sama, Dr Stephen Rundi juga mahu kaum wanita Dayak agar saling menghargai antara satu sama lain dalam melahirkan perpaduan yang kukuh di kalangan komuniti.
“Anang Loba-Loba (jangan bongkak). Sikap itu tidak bagus.”
“Kita harus saling menghargai dan belajar daripada mereka yang mempunyai pengalaman terdahulu dan saling bertukar pandangan supaya kita standing atau lebih baik dari komuniti lain,” katanya.
Dr. Stephen Rundi berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Fellowship di sebuah hotel terkemuka di Kuching pada Jumaat.
Hadir sama Timbalan Menteri, Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia dan Sukan) Dato Gerald Rentap Jabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Anak Ikom, Penasihat Sarakup Indu Dayak Sarawak Tan Sri Empiang Jabu dan Presiden SIDS Dato Ir. Alice Jawan Empaling.
Majlis makan malam tersebut diadakan bersempena Mesyuarat Agung setiap 3 tahun SIDS yang dihadiri oleh ahli dari semua cabang SIDS pelbagai daerah di negeri ini.
Pada majlis yang sama, RM 115,000 disumbangkan bagi pembangunan pendidikan kanak-kanak Dayak di kawasan terpencil.
Turut dilancarkan malam tadi buku sejarah penubuhan SIDS-TVS