Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lumba kerbau yang bakal menarik kehadiran pelancong. Foto: TVS

TPM rasmi Pesta Badudun dan Lumba Kerbau di Limbang

LIMBANG, 29 April: Pesta Badudun (berkunjung) dan Lumba Kerbau 2023 Edisi Ke-9 yang merupakan satu lagi aktiviti utama dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sarawak di sini, bakal diadakan pada 19 hingga 21 Mei ini.

Program ikonik bagi lebih 30,000 masyarakat Melayu di utara Sarawak yang diadakan sejak 2012 akan diadakan di Kampung Lubuk Sigantang selama tiga hari.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-Ficord), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, program anjuran Persatuan Melayu Limbang (PML), Persatuan Penternak dan Lumba Kerbau Limbang (PPLKL) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Limbang dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata, Pesta Badudun dan Lumba Kerbau satu lagi program utama yang diadakan di utara Sarawak khusus di Limbang untuk menyaksikan acara menarik iaitu lumba kerbau.

“Satu lagi acara adalah acara lumba kerbau dan Alhamdulillah tahun ini kita akan mengadakannya di Lubuk Sigantang pada 19 hingga 21 Mei ini dan ia dijangka akan dirasmikan pada hari kedua iaitu pada 20 Mei (Sabtu) oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk acara perasmian.

“Kita mengadakan lawatan tapak untuk memastikan bahawa persiapan dapat disediakan dengan sebaik mungkin dan kita akan berusaha sebaiknya untuk memastikan keadaan tapak dalam keadaan yang baik,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pesta itu di Kampung Lubuk Sigantang semalam.

Beliau berkata, ‘badudun’ yang bermaksud berkunjung disertai sekurang-kurangnya 14 buah perkampungan Melayu di sepanjang pesisir Sungai Limbang untuk menyaksikan pelbagai acara menarik selain lumba kerbau.

Katanya, pesta ini menonjolkan kebudayaan dan keunikan masyarakat Melayu dari segi hiasan pondok-pondok, pakaian dan makanan tradisionalnya.

Pada masa sama, ia mampu memperkenalkan kampung pesisir sungai Limbang sebagai litar lumba kerbau baharu serta mengembalikan kegemilangan sukan lumba kerbau yang pernah popular suatu ketika dulu.

Dijangka lebih 40 ekor kerbau akan terlibat dalam acara lumba kerbau kategori lumba berganti-ganti, kerbau besar dan kecil.

Katanya, pelbagai program utama di bawah Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang akan mengadakan beberapa program berkonsepkan etnik dan kebudayaan sepanjang tahun selepas pandemik COVID-19 yang membadai negara lebih dua tahun lepas.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan