JULAU, 29 April: Suami maut manakala isteri cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu terjunam ke dalam parit di Jalan Nanga Entabai, Julau, di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam ini, mengakibatkan mangsa,30, yang berasal dari Rumah Rajit, Sungai Bekelit Ulu, Sibuti disahkan meninggal dunia oleh pasukan pramedik di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Julau Deputi Superintendan (DSP) Andam Sulin berkata, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika tiba di tempat kejadian.
“Kereta mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan terjatuh ke dalam parit di bahu jalan.”
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Klinik Kesihatan Julau manakala penumpang kereta iaitu isteri kepada mangsa cedera di bahagian tangan dan dada telah dihantar ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika pasangan suami isteri terbabit sedang dalam perjalanan pulang dari Pekan Julau menuju ke rumah panjang Tr. Christy di Nanga Ayam, Julau.
“Mayat mangsa telah dihantar ke bilik mayat Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.
Sementara itu, Andam meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Julau, Inspektor Azri Mohd Azhar di talian 012-9059549. – TVS