Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Steve bersama wakil PIBG SK Siang-Siang Lawas sempat menjenguk keadaan sekolah dalam kawasan luar bandar di Lawas. Foto: Adeng Idrus

Cuaca panas melampau: Lanjutan cuti sekolah, wajar di luar bandar

LAWAS, 29 April: Keperluan sekolah luar bandar harus diberi perhatian berhubung Jemaah Menteri bakal berbincang untuk memutuskan sama ada melanjutkan cuti sekolah sempena sambutan Aidilfitri atau sebaliknya, berikutan fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ba’Kelalan, Steve Lius berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar meneliti cadangan tersebut dalam konteks kekurangan kemudahan asas di sekolah luar bandar ketika ini.

“Kita tahu bahawa kes kematian kanak-kanak akibat gelombang haba baru-baru ini berlaku di kawasan luar bandar.

“Ini kerana kawasan luar bandar tidak mempunyai kemudahan yang baik seperti di bandar khususnya sekolah luar bandar kurang kemudahan seperti kipas angin dan air bersih untuk anak-anak kita minum,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan kerusi kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Siang-Siang pada Jumaat.

Steve menjelaskan bahawa masih banyak sekolah di luar bandar seperti di Lawas yang berdepan kekurangan kemudahan dalam bilik darjah dan di luar bilik darjah.

“Kalau kita dapat melawat dan melihat sendiri terdapat kelas di sekolah menengah di Lawas yang tidak ada kipas angin dan sering terganggu bekalan elektrik sehingga pelajar dan guru dalam kepanasan.”

“Ada banyak sekolah rendah yang tidak ada kemudahan kipas angin, bekalan air serta lektrik dan ini sebenarnya perlu dilihat serta mendapat perhatian pihak kementerian berkenaan,” ujarnya.

Steve bersetuju dengan cadangan tersebut agar perkara ini dibincang agar tempoh cuti dilanjutkan sehingga keadaan reda.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan sudah pun mengkoordinasi kerjasama dengan kerajaan negeri dan kementerian berkaitan bagi membantu rakyat menghadapi fenomena baru-baru ini.

Beliau berkata urus setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara sudah bermesyuarat dan melaksanakan usaha penyelarasan dengan pelbagai kementerian serta jabatan yang berkaitan.

Sejak Rabu lalu terdapat dua kematian di Kelantan dipercayai akibat strok haba melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan