KUCHING, 28 Apr: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak memandang serius kemalangan yang berlaku di tempat kerja serta menggesa ciri keselamatan dipertingkatkan.
Pengarahnya, Dr Nor Halim Hasan justeru itu, menyarankan para majikan dan pekerja mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan 2022) atau Akta A1648 dalam memastikan risiko bahaya di tempat kerja dapat dikenal pasti serta penting dalam mengawal risiko yang berkesan.
Menurutnya, pematuhan ini selari dengan hasrat Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHNP25) yang menitik berat soal keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara ke peringkat yang lebih cemerlang.
“Dalam usaha menjadikan tempat kerja selamat, sihat dan bebas dari kemalangan dan penyakit pekerjaan, saya menyeru agar semua pihak sama ada pekerja, majikan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menjalankan program dan aktiviti yang menyumbang ke arah pengurangan kemalangan selari dengan prinsip peraturan kendiri yang menjadi teras Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan 2022) atau juga disebut dengan Akta A1648,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Halim menekankan konsep peraturan kendiri amat penting difahami dan diterapkan di tempat kerja kerana membabitkan penglibatan dan perundingan majikan dan pekerja.
“Jika prinsip dan falsafah ini dapat difahami dengan baik, usaha ke arah menjadikan tempat kerja lebih selamat dan sihat akan bertambah mudah.
“Saya ingin menegaskan supaya semua pihak berkepentingan dari semua peringkat perlu bekerjasama dan berganding bahu bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, sihat dan kondusif di semua tempat kerja,” katanya lagi.
Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa sejak 2003 dengan bertemakan ‘Persekitaran Kerja Yang Selamat dan Sihat Merupakan Hak Asasi’ untuk tahun ini bertujuan untuk mempromosikan budaya pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja. – TVS