GEORGE TOWN, 28 April: Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini disifatkan stabil, utuh dan berfungsi dengan baik.
Menurut Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pihaknya tidak melihat sebarang ancaman daripada pihak luar terhadap kerajaan ketika ini.
Beliau juga enggan melayan dan tidak bercadang untuk memberikan sebarang maklum balas terhadap desas-desus itu seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Fokus kami sekarang adalah untuk memulihkan semula ekonomi, membantu rakyat terutama selepas pandemik COVID-19.
“Kestabilan politik, memakmurkan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat adalah fokus kami ketika ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas sesi Lawatan Kerja dan Penyampaian Bingkisan Raya kepada pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang bertugas sempena Op Pagar Laut di Kapal Maritim (KM) Burau.
Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung desas-desus yang tular di media sosial kononnya Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi PH dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) akan tumbang.
Dakwaan itu berdasarkan sebuah laporan portal berita pada Isnin yang menyatakan gerakan itu disertai oleh beberapa Ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). – TVS