KUCHING, 28 April: Business Events Sarawak (BESarawak) menerusi penganjuran Anak Sarawak Awards memperkenalkan anugerah baharu pada tahun ini yang dikenali sebagai ‘Sarawak Legacy Awards’.
Ketua Pegawai Eksekutif, BESarawak Amelia Roziman berkata anugerah itu akan diberikan kepada penganjur persidangan yang memberi kesan positif terhadap ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Bertemakan ‘Passion Inspires Legacy’, anugerah berkenaan turut menampilkan empat kategori lain dan sembilan subkategori pada 12 Mei depan.
Menurutnya, penganjuran tahunan ke-10 itu dianjurkan di Hotel Imperial di sini dan dijangka dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Kunjungan hormat itu bertujuan menjemput Abang Johari menghadiri ke majlis penyampaian anugerah berkenaan.
“Premier Sarawak juga akan mengumumkan dua acara penting yang akan dianjurkan oleh kita. Ia berkaitan dengan acara perniagaan dan yang pasti semua infrastruktur lain dan perkembangan baharu juga berkaitan dengan acara perniagaan,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengerusi BESarawak Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg.
Amelia berkata lagi, Anak Sarawak Awards yang sudah terkenal ekoran keberkesanannya menyuntik motivasi dan inspirasi.
“Tidak kira perubahan yang dilakukan mereka kecil atau besar dalam sektor, keluarga mahupun masyarakat. Ia akan memberi kesan dan meninggalkan legasi,” katanya. – TVS