Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menyampaikan bungkusan hari raya kepada pegawai APMM yang bertugas pada Op Khas Pagar Laut semasa lawatan kerja ke atas Kapal Maritim (KM) Burau di perairan Pulau Pinang di sini pada Jumaat. Foto: TVS

42 tangkapan sepanjang Ops Pagar Laut sempena Aidilfitri

ByTVS

GEORGE TOWN, 28 April: Sebanyak 42 tangkapan termasuk 12 kes berprofil tinggi dijayakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sepanjang Ops Khas Pagar Laut sempena perayaan Aidilfitri di perairan seluruh negara.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, tangkapan telah ditumpaskan pada operasi bermula 9 April sehingga 25 April lalu.

Saifuddin memberitahu antara kesalahan yang dikesan termasuklah pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan rokok, cubaan rompakan, pencerobohan bot nelayan asing serta penyeludupan minyak masak dan petrol membabitkan nilai rampasan RM13 juta.

“Antara kes berprofil tinggi, kita berjaya menggagalkan cubaan kecurian kabel bersenjata di Pelantar Aurora Producer 1 di Tanjung Langsat, Pasir Gudang (Johor).

“Kita juga dapat menangkap penyeludupan rokok kontraband di Melaka, Setiu (Terengganu) dan di Tok Bali (Kelantan),” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution meninjau aset APMM semasa lawatan kerja pada Op Khas Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Burau di perairan Pulau Pinang di sini pada Jumaat. Foto: TVS

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melakukan lawatan kerja dan menyampaikan bingkisan hari raya kepada pegawai dan anggota APMM yang bertugas sempena Op Khas Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Burau di sini pada Jumaat.

Turut hadir ialah pemangku Ketua Pengarah APMM, Datuk Saiful Lizan Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Hamid Mohd. Amin dan Pengarah APMM Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed.

Sementara itu, Saifuddin berkata operasi selama 22 hari yang berakhir 30 April depan dilihat berjaya menerusi komitmen yang ditunjukkan APMM dengan 800 anggota ditugaskan sepanjang operasi.

“Kalau sempadan darat kita ini panjangnya (kira-kira) 3,000 kilometer (km), tapi sempadan laut kita dari pantai sampai zon ekonomi eksklusif kira-kira 592,000 km persegi.

“Itu adalah kawasan yang sangat luas untuk kita (APMM) jaga dan pemantauannya akan berterusan biarpun operasi telah tamat,” katanya lagi.

Sebanyak 45 buah aset APMM termasuk kapal, bot dan pesawat digerakkan ke seluruh perairan negara dengan kawalan 24 jam sehari pada sepanjang tempoh operasi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan