JAKARTA, 28 Apr: Seramai 385 warganegara Indonesia dari Sudan tiba di Jakarta dengan pesawat Garuda Indonesia pada pagi Jumaat.
Ketibaan peringkat pertama itu menyaksikan 248 orang wanita dan 137 orang lelaki, termasuk 43 kanak-kanak merupakan mereka yang telah berjaya dipindahkan dari Sudan melalui Jeddah.
Ketibaan mereka telah disambut oleh Menteri Luar Negara Indonesia, Retno Marsudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sambil berkata penerbangan balik rakyat Indonesia dari Sudan dilakukan secara berperingkat.
“Mengikut perancangan, penghantaran pulang fasa kedua ke Indonesia akan dijalankan pada 29 April, dan peringkat ketiga pada 30 April, jadi selama dua hariseterusnya kita akan memindahkan semua mereka dari Sudan untuk dibawa pulang ke Indonesia,” katanya.
Menurutnya, penghantaran pulang pada peringkat ketiga nanti merupakan penutup keseluruhan proses pemindahan yang dilakukan.
“Mereka ini akan ditempatkan sementara di Asrama Haji Pondok Gede selepas melalui penerbangan jauh dan memenatkan itu sebelum pulang ke kadiaman masing-masing,” ujarnya.
Pada masa sama, Retno memberitahu tahap kesihatan mereka juga akan diperiksa bagi memudahkan urusan mereka pulang nanti.
Sehingga kini, beliau mendedahkan lagi hanya berbaki 111 warga Indonesia masih berada di Kota Port Sudan yang akan diterbangkan ke Jeddah dengan pesawat Tentera Indonesia (TNI).
Retno juga mendedahkan bahawa setiap usaha pemindahan mempunyai cabaran dan tahap kesukaran yang berbeza selain situasi medan yang dinamik di kawasan konflik berbahaya.