BINTULU, 27 April: Enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu akan berentap pada Spartan Race Sarawak 2023 yang bakal berlangsung di Universiti Curtin, Miri pada 6 Mei depan.
BBP Bintulu akan diwakili Emerson Dana Thomson sebagai ketua pasukan, Syafiq Raduan, Richard Garry Ujie, Mohammad Qillah Wan, Mohamad Thasriq Bi dan Mohd Falihin Rambi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Timbalan Penguasa Bomba 1, Christus Buson berkata selain menyertai edisi ketiga sukan lasak itu, kesemua mereka juga dilantik sebagai ahli jawatankuasa persiapan program Spartan Sarawak.
“Mereka akan menyertai kategori ‘Sprint’ yang melibatkan perlumbaan sejauh lima kilometer dengan 20 halangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, beliau amat berbangga atas pemilihan enam anggotanya dalam perlumbaan lasak itu sekali gus berpeluang menguji sejauh mana kemampuan mereka.
“Walaupun sempat berlatih dalam tempoh sebulan sahaja, harapan saya mereka akan pulang dengan kemenangan. Walau apa pun keputusan kelak yang penting adalah semangat mereka kental untuk menang,” ujarnya.
Spartan Race 2023 menampilkan dua kategori utama iaitu acara ‘Sprint 5K’ dengan perlumbaan sejauh lima kilometer (km) dengan 20 halangan dan ‘Super 10K’ dengan perlumbaan 10 km membabitkan 25 halangan.
Selain itu, penganjur juga telah memutuskan untuk mengadakan satu lagi kategori baharu iaitu Spartan Kids Race bagi jarak 800 meter, 1.6 km dan 3.2 km untuk kanak-kanak berumur lima hingga 14 tahun.
Spartan Race 2023 merupakan yang julung kalinya diadakan di Miri selepas dua edisi terdahulu di Kuching pada 2019 dan 2022. -TVS