Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Len Talif Salleh bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri PBB Kuala Rajang dan Saberkas Kuala Rajang di Sarikei, semalam. Foto: TVS

Medan Selera Tebingan Sungai Kampung Seberang bakal mengubah landskap Sarikei – Len Talif

SARIKEI, 27 April: Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) merancang untuk membangunkan medan selera baharu di tebing sungai terletak berhampiran jambatan Kampung Seberang, Sarikei.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, pelaksanaan projek itu dijangka menelan kos RM10 juta.

Beliau berkata, lokasi tersebut bukan sahaja menjadi tapak perniagaan baharu yang bakal mengubah landskap bandar nanas tetapi juga bakal menjadi satu lagi tarikan utama pengunjung ke bandar Sarikei.

Datuk Len Talif Salleh menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri PBB Kuala Rajang dan Saberkas Kuala Rajang di Sarikei, semalam. Foto: TVS

“Kerajaan kita melalui RADDA bakal membangunkan medan selera di Tebingan Sungai Kampung Seberang dengan bajet sebanyak RM10 juta yang sudah disediakan,” katanya demikian pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kuala Rajang dan Saberkas Kuala Rajang di sini, semalam.

Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, usaha itu selaras dengan pendekatan kerajaan melonjakkan potensi ekonomi Sarikei yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Insya-Allah dengan adanya projek seperti ini bakal memberi impak besar kepada pembangunan komersial di kawasan ini,” katanya lagi.

Tambahnya, pembangunan Sarikei dijangka terus berkembang rancak apabila projek jalan dan jambatan ke Tanjung Manis siap sepenuhnya tahun depan.

Pada masa yang sama katanya, RM56 juta turut disediakan bagi pembinaan laluan baharu sepanjang tujuh kilometer dari Kerubong ke Sare, sekali gus bakal memudahkan perhubungan penduduk pesisir termasuk Kabong dan Selalang ke Sarikei.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan status Bumiputera tanah Kampung Dibah atau Kampung Asal Sarikei akan dikekalkan walaupun kawasan itu akan dibangunkan dengan konsep pembangunan Darul Hana di Kuching.

Beliau menasihatkan penduduk kampung supaya tidak menjual tanah mereka walaupun ditawarkan pada harga yang tinggi.

“Kita akan membangunkan kawasan tersebut menjadi kawasan komersial dengan memberi peluang kepada mereka yang memiliki tanah di sana untuk memegang saham dan segala perinciannya akan dibincangkan dengan ketua masyarakat di Kampung Dibah,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan