BALING, 27 April: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemukan lemas di sebatang sungai berdekatan Loji Sungai Limau, Kupang di sini hari ini.
Mayat mangsa, Muhammad Yusuf Khairuddin dijumpai kira-kira pukul 4.30 petang di dasar sungai kira-kira 1.5 kilometer (km) dari tempat dia dilaporkan hilang.
Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, kejadian berlaku ketika mangsa bersama beberapa ahli keluarga dan saudara mara sedang berkelah di tepi sungai itu kira-kira pukul 11 pagi.
Ujarnya, semasa kejadian, ibu mangsa berusia 36 tahun sedang menyuap makanan kepada tiga anak kecil, manakala mangsa telah turun ke sungai untuk mandi bersama adik beradiknya.
“Ibunya kemudian menyedari mangsa telah hilang sebelum anak perempuannya berusia 13 tahun memberitahu melihat mangsa menuju ke arah saluran paip penyedut benteng pasir.
“Mayat mangsa kemudiannya dijumpai pasukan mencari dan menyelamat di dasar sungai kira-kira 1.5 km dari lokasi terakhir dia dilihat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar beliau, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar dekat sini bagi urusan bedah siasat esok. – TVS