LAWAS, 27 April: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyantuni pejuang dan veteran politik serta pengasas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lawas Dato Pengiran Jawa Pengiran Amjah di Trusan pada Rabu.
Awang Tengah mengakui Pengiran Jawa merupakan seorang tokoh penting yang tidak asing lagi di daerah ini.
Beliau katanya, banyak membawa PBB ke daerah Lawas dan akhirnya dikenali sebagai PBB untuk bertapak di daerah Lawas bersama beberapa rakan beliau.
“Jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu yang merintis kejayaan pada hari ini tidak harus dilupakan,” katanya pada kunjungan berkenaan.
Turut sama pada kunjungan berkenaan ialah isteri Awang Tengah, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud dan Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong.
Pengiran Jawa adalah bapa kepada Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin dan bekas Setiausaha Sulit Awang Tengah iaitu Allahyarham Awangku Omar Pengiran Jawa yang turut menjadi nadi kekuatan parti PBB di Lawas dan Sarawak amnya.
Pengiran Jawa bersama Allahyarham Datuk Awang Daud Awang Matussin adalah dua tokoh penting yang telah mengembangkan PBB ke Lawas daripada Kuching seawal tahun 1962.
Mereka telah mendapat sokongan pemimpin masyarakat Lun Bawang, Datuk Racha Umong dan beberapa pemimpin lainnya.
Semasa kunjungan berkenaan Awang Tengah sempat berkongsi cerita sambil mendengar sendiri pandangan daripada Pengiran Jawa yang kini telah berusia 96 tahun.
Pengiran Jawa yang ditemui turut terharu atas keperibadian Awang Tengah dan Henry Sum yang sentiasa mengutamakan pemimpin-pemimpin veteran dalam PBB.
“Awang Tengah adalah seorang ahli parti yang mengutamakan perpaduan dalam parti dan amat menjaga PBB.
“Beliau sentiasa memastikan kepentingan PBB diutamakan dan inilah yang sepatutnya dilakukan oleh pemimpin muda dalam PBB,” kata Pengiran Jawa ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Awang Tengah.
“Sarawak telah membuktikan bahawa setiap kali berlaku peralihan kuasa, segalanya berjalan sempurna kerana pemimpin dalam parti sedar bahawa mereka perlu menjaga Sarawak dengan baik.
“Jika kita berpecah dalam parti kerana kuasa, maka kesannya kelak ialah seluruh Sarawak akan berpecah belah seperti yang dapat kita lihat di Semenanjung yang setiap hari pemimpin saling menjatuhkan antara mereka kerana sikap tamak dan akhirnya kerajaan persekutuan tidak stabil hingga sekarang,” nasihatnya.-TVS