KUCHING, 26 April: Sebuah rumah panjang tradisional di Betong iaitu Rumah Matop bakal menjadi tuan rumah bagi sambutan Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) Peringkat Bahagian pada 9 hingga 11 Jun depan.
Timbalan Menteri, Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia dan Sukan) Dato Gerald Rentap Jabu berkata, sambutan kali tahun ini menjangkakan penyertaan sebanyak 30 kontinjen daripada pelbagai kumpulan mewarnai acara Perarakan Gawai Besar.
“Dari bahagian Betong kita sudah menjemput pasukan perarakan dari Persatuan Tuan Rumah Bukit Saban, Layar dan Saratok, serta pasukan dari beberapa kategori yang melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Rendah Kebangsaan, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya pada sidang media Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak 2023 di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu optimis penganjuran rumah terbuka itu nanti akan meningkatkan jumlah kehadiran pengunjung ke Betong sekali gus merangsang sosioekonomi setempat.
“Dengan siapanya Lebuh Raya Pan Borneo ini, (pengalaman) perjalanan ke Betong akan mengambil masa yang singkat selain pengunjung juga berpeluang melawat Kubu Alice di Sri Aman serta membeli kraf tangan di Pasar Betong,” tambahnya.
Sementara itu, menurut Presiden STF Audry Wan Ulok, Rumah Matop, Betong dipilih memandangkan rumah panjang tersebut masih mengekalkan struktur tradisional serta menampilkan perhiasan lama sebagai simbol kepahlawanan nenek moyang.
“Rumah Matop dibina pada tahun 1941 mempunyai 28 pintu didirikan daripada pokok belian yang besar,” jelasnya. -TVS