SIBU, 26 April: Seorang pemandu van ditahan sepasukan Unit Risikan Marin (URM) dari Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sibu kerana disyaki cuba menyeludup diesel.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan pasukan PPM Sibu semasa menjalankan Ops Taring Kontraban di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce kira-kira jam 6.45 pagi di sini pagi Rabu.
“Hasil pemeriksaan dan pengakuan lisan daripada pemandu berkenaan telah mengaku membawa muatan minyak diesel lebih kurang 800 liter di dalam tangki besi di bahagian belakang van tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Zulkipli, pemandu terbabit gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki atau menyimpan atau membawa barang kawalan tanpa permit dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sibu.
“Jumlah dan nilai keseluruhan rampasan ialah RM46,720 termasuk nilai van jenis Ford tersebut,” jelasnya.
Kesemua barang rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat KPDN Bahagian Sibu untuk siasatan dan tindakan selanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,”ujarnya. -TVS