BINTULU, 26 April: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis kawasan Jepak akan dilimpahi pembangunan dengan siapnya Jambatan Bintulu-Jepak pada 2025.
Menurut beliau, kawasan terbabit tidak akan ketinggalan malahan akan dibangunkan sebagai bandar pintar selepas ini.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa perpaduan dan kerjasama yang kukuh turut menjadi salah satu faktor yang akan memudahkan pembangunan dilaksanakan di satu-satu kawasan di negeri ini.
“Saya berkongsi cerita ini kerana kita mempunyai perpaduan yang kukuh dan dengan ini juga kita dapat melaksanakan dasar kita termasuk pembangunan Jepak. Kita harus mempertahankan warisan yang ada di Jepak. Bermakna kita melaksanakan betul-betul supaya kita mempunyai bandar yang kita gelar sebagai bandar pintar. ini adalah harapan kita untuk masa depan.”
“Inilah harapan kita untuk masa depan. Insya-Allah dalam tahun 2025, apabila siapnya jambatan, Jepak semakin hampir menjadi satu bandar dengan bandar di seberang itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Masyarakat Kampung Warisan Jepak, di sini pada Selasa.
Abang Johari mendedahkan lagi pembangunan di Jepak juga akan diteruskan sehingga ke Kidurong dan Samalaju.
Untuk rekod, setakat Mac 2023, pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak telah mencapai 49.31 peratus siap.
Sebelum ini Timbalan Premier Sarawak yang juga merupakan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perbincangan telah dilakukan bersama pihak berkaitan untuk menentukan kaedah terbaik bagi memastikan projek bernilai lebih RM466 juta tersebut dapat disiapkan menjelang hujung bulan Oktober 2024. – TVS