KUCHING, 26 April: Hari Bung Bratak bakal kembali pada 1 Mei ini selepas tiga tahun menyepi akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak (BBHA) Dato Peter Minos berkata acara berkenaan bakal dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
“Kami di Bung Bratak amat teruja dan gembira menerima khabar yang beliau akan hadir yang secara langsung menunjukkan sokongan kementeriannya kepada penganjuran Hari Bung Bratak pada 1 Mei ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Menurut Peter, Hari Bung Bratak merupakan sambutan tahunan yang tersenarai pada Kalender Pelancongan tahunan kementerian.
“Dengan itu, kita juga menjangkakan kehadiran para pelancong asing, seperti sebelum ini,” tambah kenyataan lagi.
Dalam pada itu, Peter berkata musik, pakaian dan tarian tradisional Bidayuh akan dipersembahkan dengan penuh kemeriahan pada hari tersebut.
Menurutnya lagi, rombongan kebudayaan dari daerah Bau, Lundu, Kuching dan Serian bakal memeriahkan sambutan dengan musik dan gaya tersendiri.
“Ia akan kelihatan berwarna-warni dan indah. Selain itu, turut diadakan festival makanan Bidayuh, pameran pakaian tradisional Bidayuh termasuklah artifak dan kraf,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Menurutnya, khabar baik untuk orang ramai berhubung tiada sebarang bayaran masuk dikenakan pada hari tersebut dan pengangkutan untuk naik ke kawasan bukit turut disediakan.
“Mereka yang berminat untuk mendaki sendiri Bung Bratak, dialu-alukan, anda akan menikmati hari cuti ini yang juga merupakan Hari Pekerja di sini,” katanya.
Hari Bung Bratak ujarnya memiliki keunikan tersendiri susulan ia diianjurkan di puncak Bung Bratak, ia merupakan penempatan awal bersejarah masyarakat Bidayuh ratusan tahun dahulu.
Pusat Warisan Bung Bratak (BBHC) kata Peter lagi dilengkapi dua rumah panjang dan baruk dengan pemandangan alam semula jadi yang masih dikekalkan sehingga kini.
“Pada 2018, seorang pelancong asing dari Belanda pernah berkata:
“Anda tidak akan mampu menjumpai festival kebudayaan lain yang lebih eksotik daripada Hari Bung Bratak di lokasi bersejarah yang eksotik,” katanya. – TVS