LAWAS, 25 April: Sarawak terus memberi keutamaan kepada aspek pendidikan dan kemahiran dalam melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, hasrat itu sejajar dengan usaha Kerajaan Sarawak membangunkan modal insan cemerlang dan berkualiti untuk memacu pembangunan negeri.
“Pendidikan anak-anak dan kemahiran mereka mesti kita utamakan agar mereka berjaya dalam mengharungi kehidupan di masa hadapan dengan lebih terjamin,” katanya pada majlis perhimpunan keluarga di kediamannya di Taman Klasik Lawas pada Isnin.
Hadir sama ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu mahu semangat Ramadan yang menekankan keperibadian dan akhlak mulia diteruskan.
Katanya sikap dan akhlak mulia perlu sentiasa diamalkan oleh semua ahli keluarga dalam memastikan hubungan antara mereka terus kukuh.
“Kita mahu segala perbuatan baik dan kerendahan hati sepanjang Ramadan terus diamal secara istiqamah pada bulan-bulan lain dalam membentuk keperibadian yang mulia,” katanya lagi.
Tambah Awang Tengah lagi, aspek pendidikan dan kesungguhan dalam melakukan sesuatu pekerjaan perlu dijadikan amalan.
Pada majlis itu, lebih 200 ahli keluarga Awang Tengah dan isteri Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud hadir di sini.
Terdahulu Morliah yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Lawas turut berpesan agar semua ahli keluarga saling mengambil berat antara mereka dan berlapang dada dalam memaafkan sesama mereka.
Beliau juga mahu sifat-sifat positif terus menjadi pegangan agar semua keluarga berjaya dalam segala bidang diceburi.
Perhimpunan ini adalah tradisi keluarga sejak sekian lama bagi menghimpunkan keluarga untuk mengeratkan silaturahim dan saling memaafkan. -TVS