KUCHING, 25 April: Perpaduan rakyat di Sarawak menjadikan negeri ini diiktiraf sebagai ‘bandar model’ perpaduan di Malaysia, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau mengakui  Sarawak sudah lama mengamalkan perpaduan dalam kalangan rakyatnya sejak zaman Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman lagi dan pencapaian ini adalah sesuatu yang amat membanggakan rakyat di negeri ini.
“Sarawak tidak ada masalah. Sarawak sentiasa amalkan perpaduan dan kalau awak semua baca kenyataan dari pemimpin-pemimpin kita dari dulu seperti Tunku Abdul Rahman, memang kita amalkan perpaduan dari dulu lagi dan kita sudah buktikan dari persekutuan lagi dengan menggunakan Sarawak dan Sabah sebagai contoh.”
“Kita fokus kepada keadaan kita di sini. Aset kita adalah perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan perkahwinan cross-marriage di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama ialah model yang telah digunakan. Malah Kuching telah dinamakan sebagai bandar perpaduan.PErkara ini telah diiktiraf oleh negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Ramah anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (MPWK) bersama Kumpulan Sasar di sini, hari ini.
Tambah Nancy, amalan ini adalah sesuatu yang harus dikekalkan di negeri ini supaya kesejahteraan rakyat Sarawak akan sentiasa terjaga dan tidak dijejaskan dengan pengaruh luar. – TVS