MUKAH, 25 April: Permainan tradisional masyarakat Melanau iaitu Tibou atau ‘buaian gergasi’ buat julung kalinya akan menemui orang ramai pada Pesta Kaul Mukah 2023 di Pantai Kala Dana, Mukah pada 28 hingga 29 April 2023 ini.
Pertandingan ‘Pisak Tibou’ atau Pertandingan Bermain Tibow yang dianjurkan oleh Persatuan Melanau Miri ini bakal memberi cabaran kepada peserta dengan menguji kekuatan fizikal kerana ia melibatkan kemahiran bergayut dan nilai kerjasama dalam satu pasukan bagi para peserta.
Menurut Setiausaha Jawatankuasa Pengelola Pertandingan, Susana Clement, pihaknya mengakui bahawa permainan tradisional Tibou ini berpotensi menjadi satu produk utama pelancong untuk Bahagian Mukah dan Sarawak secara amnya.
Susana memberitahu pihaknya menyedari akan kepentingan tersebut, justeru itu Persatuan Melanau Miri (PMM) telah bekerjasama dengan Persatuan Melanau Mukah dan Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua-ketua Kaum di Daerah Mukah yang diamanahkan oleh Badan Induk Pesta Kaul Mukah 2023 bagi menganjur pertandingan berkenaan.
“Objektif pertandingan ini bertujuan untuk memperkenalkan permainan tradisional Tibou kepada masyarakat khasnya generasi muda sebagai pelapis masa depan, serta meningkatkan daya tumpuan dan fokus dalam kalangan peserta.
“Selain kita mahu menerapkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam sebuah pasukan serta menyemai kesedaran untuk memelihara permainan tradisional Tibou yang diwarisi oleh masyarakat Melanau terdahulu,” katanya kepada TVS.
Tambahnya kebiasaan, pada Pesta Kaul Mukah sebelum ini, permainan tradisional Tibou dianjur secara pertunjukan atau demo oleh para pengemar permainan Tibou tempatan.
Baca artikel berkaitan:
1. Pesta Kaul Mukah 2023 diadakan mulai 26 April hingga 1 Mei, platform tarik pelancong
Bagi penganjuran pertandingan yang pertama ini katanya penyertaan adalah percuma melibatkan dua kategori iaitu Lelaki dan Perempuan yang berumur 18 tahun ke atas.
“Kriteria pemarkahan pertandingan pula meliputi terjunan mengikut anak tangga, ayunan ‘Uyan’ mestilah tidak melebihi dua minit selepas wisel dibunyikan.
“Tiada markah akan diberi jika melebihi dua minit, ayunan pasukan keseluruhan mestilah melebihi dua minit, ayunan tidak “menyeruyan”, kekemasan pakaian pemain dan disiplin serta etika pemain.
“Format pertandingan satu pusingan akan digunakan bagi menentukan lima pasukan terbaik bagi menentukan layak peringkat akhir,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, menurut Presiden PMM Kr Abdullah Jaini, pada masa akan datang mana-mana penganjur boleh mencurahkan pengalaman pada pertandingan yang julang kali ini.
Malahan katanya pihaknya telah menerima sambutan yang memberangsangkan agar penganjuran akan datang ditambahbaik pada masa akan datang.
“Kami juga berhasrat agar pertandingan Pisak Tibou ini dapat menjadi acara pertandingan sukan rakyat di peringkat negeri, dan negara malah tidak mustahil ke peringkat antarabangsa yang mana Tapak Pesta Kaul Mukah menjadi lokasi utama.
“Potensi dan manfaat inisiatif ini dari sudut produk sukan tradisi kaum Melanau yang unik ini dan impak ekonomi dan pelancongan yang dapat dinikmati oleh warga Mukah menerusi permainan tradisional Tibou,” ujarnya lagi.
Difahamkan tarikh tutup penyertaan bagi pertandingan Pisak Tibow pada 28 April 2023 ini.
Sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi Susana Clement di talian 011-14037753 (WhatsApp) dan James B. Anthony di talian 011-15379385 (WhatsApp).
Tibou menurut Kamus Melanau Mukah-Melayu; Dewan Bahasa dan Pustaka merujuk kepada binaan struktur berbentuk ‘A’ daripada batang perupuk paya yang dijadikan buaian gergasi dalam permainan tradisi masyarakat Melanau.
Permainan Tibou ini kebiasaan dimainkan mengikut adat dan pantang larang masyarakat Melanau, malah bagi membinanya satu-satu Tibou ini turut memerlukan upacara ritual adat dan bacaan yang betul oleh masyarakat tempatan yang diketuai oleh Bapa Kaul agar Tibau yang dibina ini kukuh dan selamat dimainkan.
Seiring dengan perkembangan semasa, sewajarnya permainan tradisional masyarakat Melanau ini mampu dijadikan antara sukan lasak dalam kalangan masyarakat yang ingin menguji keberanian, ketangksan dan kemahiran komunikasi mereka dalam satu pasukan.
Orang ramai dijemput datang berkunjung ke Mukah pada hujung minggu ini, untuk menyertai Pesta Kaul Mukah bagi menyaksikan sendiri pengalaman pertandingan Pisak Tibou buat pertama kalinya di sini. – TVS