KUCHING, 25 Apr: Tidak menyangka Aidilfitri kali ini membuka pintu rezeki kepada Ummu Athirah Taha setelah mendapat tempahan lebih 1,000 biji kelupis Kedayan yang diusahakannya di sini.
Wanita berusia 31 tahun dari Kampung Samariang Batu itu juga tidak pernah menduga perniagaannya itu berjaya menarik perhatian masyarakat di sekitar bandar raya ini serta mendapat permintaan yang tinggi meskipun baharu sahaja mengusahakannya.
Menurutnya kudapan itu hanya boleh didapati di bahagian Utara Sarawak iaitu Miri, Limbang Dan Lawas serta Sabah dan Brunei.
“Semenjak berkahwin, sukar untuk saya jumpa juadah ini di kampung suami saya. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk membuatnya sendiri dan meniaga kerana tentu ada juga yang menginginkannya.
“Saya cuba dan Alhamdulillah sambutan sangat memberansangkan,” katanya ketika ditemui TVS baru-baru ini.
Meskipun begitu, Ummu memberitahu tempahan adalah terhad berdasarkan bekalan daun nyirik atau daun lerek yang digunakan untuk membalut kelupis.
“Ini kerana daun tersebut adalah tanaman hutan yang sukar untuk diperoleh dan memakan kos serta masa bagi mendapatkannya,” ujarnya.
Ummu mendedahkan ibunya sebelum ini pernah mencuba untuk menanam pokok daun nyirik namun tidak berjaya.
“Kalau nak dapatkan daun ini memang perlu masuk hutan. Alhamdulillah, ada pembekal dari Padawan sebab mudah nak peroleh daun nyirik di kawasan itu. Saya pun dapat daun itu seminggu sekali, itu pun tak banyak,” katanya.
Kelupis Kedayan menggunakan daun nyirik kerana aroma yang dihasilkan daun tersebut berbeza daripada daun pisang dan daun palas.
Kesukaran mendapatkan daun itu merupakan antara faktor kelupis tersebut terus mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan.
Sebanyak dua jenis kelupis yang ditawarkan iaitu asli dan berintikan udang kering kelapa dengan harga RM10 dan RM15 masing-masing sebungkus. -TVS