Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediaman Datuk Julaihi Narawi di Taman Heritage, Petra Jaya, hari ini. Foto: Awang Azmil

MUT sedia 28 lori tangki air, tangani masalah tekanan air rendah

ByOdleen Catherny

KUCHING, 24 April: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak bersedia menggerakkan sekurang-kurangnya 28 lori tangki air sebagai langkah membekalkan air bersih di kawasan yang menghadapi tekanan air rendah.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata, susulan cuaca panas dan kering ketika ini, terdapat beberapa kawasan yang menghadapi masalah tersebut terutamanya di Bintulu dan Miri.

“Kalau saya tidak silap, kita mempunyai 28 tangki. Berdasarkan pengalaman kami di Miri tempoh hari, kita telah menggerakkan 28 tangki, tidak kira sama ada tangki-tangki itu daripada pemilikan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (SWB) ataupun Lembaga Air Kuching Utara (LAKU) Management Sdn. Bhd.

“Kita juga mendapat tangki daripada agensi dan jabatan berkaitan, misalnya bomba dan sebagainya yang juga memiliki lori tangki untuk kita hantar air kepada pihak memerlukan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Taman Heritage, Petra Jaya, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu berkata, kementerian baru-baru ini telah mengadakan mesyuarat dan mengambil beberapa langkah proaktif agar bekalan air bersih dapat dibekalkan dalam kadar segera.

“Kita juga telah memaklumkan kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak supaya mereka tahu tentang langkah yang kita ambil dan antara perkara yang kita kenal pasti ialah kemungkinan berlakunya tekanan air yang rendah, jadi kita ambil langkah yang sewajarnya.

“Kita perlu mengambil tindakan pantas, keputusan proaktif yang mana dalam mesyuarat yang lalu, kita telah membuat persediaan awal, maknanya kalau air perlu dihantar ke kawasan terkesan, kita kena hantar dengan segera, tidak perlu tunggu, kalau boleh hantar dengan segera, kita hantar,” ujarnya.

Kementerian juga katanya, telah membuat koordinasi dengan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan yang memiliki lori tangki air untuk digunakan dan dihantar ke kawasan terlibat.

Pada masa yang sama, Julaihi meminta ketua masyarakat dan pengguna supaya segera melaporkan kepada pusat panggilan atau menghubungi talian hotline pihak berkuasa air apabila mereka menghadapi masalah tekanan air yang sangat rendah atau apabila tiada bekalan air di kawasan mereka agar tindakan segera dapat diambil.

Katanya, aduan itu boleh disampaikan dengan menghubungi JBALB di 082-262211, Lembaga Air Kuching (082-222 222), Lembaga Air Sibu (013-8106311) dan LAKU (085-426626-Miri), (086-318160-Bintulu) dan (085-215 644-Limbang). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan