LIMBANG, 23 April: Masyarakat di Sarawak terus diingatkan untuk lebih berwaspada khususnya ketika sambutan Aidilfitri ini susulan enam kes positif COVUD-19 yang disebabkan oleh varian baharu Arcturus.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, memandangkan pengesanan Arcturus di negeri ini, orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan risiko peningkatan kadar jangkitan.
Beliau berkata, setiap orang mesti mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan jangkitan dan mencegah penularan terutamanya semasa musim perayaan ini.
“Walaupun kita sudah merayakan hari raya seperti biasa, kita harus berjaga-jaga supaya COVID-19 ini tidak akan merebak, jadi ini penting supaya kita tidak akan mengalami lagi keadaan seperti dulu,” katanya ketika ditemui media selepas Rumah Terbukan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail di Kampung Nauran semalam.
Sempena Hari Raya ini, beliau turut berharap semangat Aidilfitri dapat dirai dengan penuh kemesraan, perpaduan dan semangat muhibbah antara kaum berlainan budaya dan agama yang menjadi kekuatan rakyat di Sarawak.
“Kita semua ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin dan semoga perayaan ini akan dapat meningkatkan semangat kerjasama perpaduan dalam kalangan kita.
“Saya berharap semangat ini akan dapat diteruskan untuk kepentingan kita dan kerjasama, perpaduan dapat diperkukuhkan supaya kita akan terus menikmati kestabilan, keamanan, keharmonian dan dapat kita menumpukan ke arah usaha untuk membangunkan kawasan kita ini, dan negeri serta negara pada keseluruhannya,” tambahnya lagi.
Terdahulu Awang Tengah dan isteri Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, turut melakukan kunjungan ke rumah terbuka Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, di Dewan Kampung Bunga Raya. – TVS