KUCHING, 23 April: Teknologi saintifik pewujudan sumber tenaga hijau baharu Sarawak memerlukan keadaan iklim sederhana dan iklim tropika.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tenaga hijau baharu ini yang berkaitan dengan tumbuhan alga bergantung kepada kesesuaian tanah dan juga air untuk memastikan ia dapat tumbuh dengan banyak.
“Kita sangat bertuah kerana spesis alga ini boleh digunakan untuk menghasilkan banyak produk dan sangat diperlukan dalam bidang perubatan selain boleh menghasilkan tenaga daripadanya.
“Sebab itu saya akan umumkan pada bulan depan dengan lebih terperinci lagi kerana ia adalah satu proses saintifik yang kita wujudkan,” katanya.
Baca artikel berkaitan >>>>>Â Kuala Rajang berpotensi sebagai kawasan pembiakan alga
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Adilfitri 2023 untuk hari ke-2, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Katanya, Sarawak bertuah kerana spesis alga tersebut hanya boleh tumbuh di negeri ini sahaja, malah percaya sumber ini bakal mengubah pembangunan ekonomi Sarawak.
“Kita bersyukur kerana sumber yang dimiliki Sarawak. InsyaAllah, pada bulan depan kita akan mengumumkan satu teknologi yang telah kita terokai bersama dengan pihak pakar-pakar saintis kita dan ini saya rasa akan menjadi ‘game changer’ dalam pembangunan ekonomi Sarawak.
“Sekarang ini, Sarawak memainkan peranan yang penting dalam tenaga hijau,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Abang Johari memaklumkan beliau menerima jemputan untuk berucap di Bali, Indonesia bagi berkongsi pandangan mengenai tenaga hijau.
“Saya juga akan menghadiri satu forum antarabangsa di Kuala Lumpur dalam masa dua bulan ini yang mana saya akan berkongsi tentang peranan Sarawak ke arah tenaga hijau,” katanya.
Sementara itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib turut hadir pada rumah terbuka tersebut. – TVS