KUCHING, 23 April: Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya tujuh tahun untuk memuktamadkan keseluruhan parameter kuantum ekonomi simpanan karbon di lebih 60 peratus kawasan litupan hutan milik negeri ini.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni berkata, fasa awal program pembangunan ekonomi hijau tersebut dilaksanakan dengan strategik.
Baca artikel berkaitan >>>>> Sarawak nekad teroka peluang pelaburan CCUS dalam negeri
Melalui perundangan, pengenalan lesen penyimpanan karbon jelasnya, langkah penting bagi mengurus dan mengiktiraf sumber industri Penggunaan dan Penyimpanan Tangkapan Karbon (CCUS) di Sarawak.
“Kalau kita lihat kepada perdagangan karbon, ia memerlukan dua hingga tiga tahun untuk dijana dari segi formulanya pula, pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk saiz pokok, ketinggian, jenis, usia dan lokasi pokok tersebut ditanam.
“Keduanya, kita menggunakan teknologi satelit untuk menilai jumlah karbon yang terdapat di dalam sesuatu pokok yang ada di dalam hutan. Atas sebab itu Sarawak lebih berhati-hati dalam tindakannya termasuk melaksanakan perkara itu mengikut lunas perundangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Kesuma Resort di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut itu berkata, komitmen Sarawak sebagai pemain industri ekonomi hijau diperkuatkan dengan jalinan penyelidikan dan persefahaman di peringkat global.
Tambahnya, pembangunan bahan bakar bio daripada tumbuhan alga, karbon dan hidrogen di Sarawak akan menyumbang pendapatan baharu untuk Sarawak.
“Apabila kita boleh menyimpan karbon di dalam lautan dan di dalam telaga minyak yang tidak digunakan lagi karbon tersebut boleh digunakan untuk menghasilkan bahan api bio ataupun tenaga bio sekiranya karbon itu dicampur dengan alga.
“Ini adalah satu kelebihan untuk Sarawak kerana alga mikro dihasilkan dengan mudah di perairan Sarawak dan juga di dalam kawasan yang sesuai dibandingkan dengan kawasan lain di dunia,” katanya.-TVS