SARIKEI, 23 April: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Saga dan sebuah pacuan empat roda(4WD) Nissan Navara di Jalan Taman Jasmin di sini, petang semalam.
Insiden kira-kira jam 5.45 petang itu mengakibatkan mangsa, Johnny Gundak, 39, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya, ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan menghala ke Sarikei.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGOB) dalam kenyataannya memberitahu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei menerima panggilan kejadian pada jam 5.47 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tidak tersepit. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Kejadian turut mengakibatkan kesesakan dilaluan terbabit namun berjaya dikawal. Dalam pada itu, bomba turut melakukan pemantauan susulan bagi memastikan lokasi kejadian benar-benar selamat untuk dilalui kenderaan lain,” katanya. –TVS