KUALA LUMPUR, 22 April: Orang awam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri susulan peningkatan kes COVID-19 dan fenomena jerebu yang kini melanda negara.
Menurut data rasmi Kementerian Kesihatan, jumlah kes COVID-19 di negara ini meningkat 87.5 peratus dalam tempoh 14 hari hingga 8 April lepas, manakala bilangan kemasukan ke wad direkodkan mengalami peningkatan 30.5 peratus.
Pakar Kesihatan Awam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Mohammad Farhan Rusli berkata walaupun tiada prosedur operasi standard (SOP) khusus, orang awam perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan kendiri sebelum bersalaman dengan orang tua dan kanak-kanak semasa berkumpul.
Beliau berkata kerap membasuh tangan dan mengamalkan penjarakan fizikal selamat dalam khalayak ramai, terutama dalam kalangan mereka yang tidak dikenali, juga adalah langkah perlindungan diri terbaik.
“Selain itu, bawa peralatan anda sendiri seperti sejadah apabila sembahyang di masjid. Jika boleh, ambil wuduk dahulu di rumah dan pakai pelitup muka sepanjang masa.
“Apabila anda rasa tidak sihat, elakkan perjumpaan beramai-ramai dan lakukan ujian kendiri. Sentiasa ingat, anda adalah orang terbaik untuk menjaga diri sendiri, bukan orang lain,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun mengingatkan bahawa Malaysia masih lagi dalam Fasa Peralihan Ke Endemik sejak 1 April tahun lepas dan kerajaan masih belum mengumumkan secara rasmi negara telah bebas daripada virus berbahaya itu.
“Kita masih di bawah peralihan ke endemik, justeru ada keringanan prosedur operasi standard (SOP) namun itu bukanlah alasan untuk tidak berhati-hati, khususnya dengan kewujudan subvarian baharu COVID-19 seperti XBB,” katanya.
Dalam pada itu, berikutan cuaca panas dan jerebu yang kini melanda negara, seorang pakar alam sekitar turut menasihatkan orang awam supaya menghadkan masa di luar rumah dan mengenakan pelitup muka semasa Hari Raya.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir berkata pemakaian pelitup muka adalah bagi mengurangkan pendedahan kepada bahan pencemar akibat jerebu serta melindungi sistem pernafasan.
“Ketika jerebu, dinasihatkan untuk memakai pelitup muka yang direka bentuk khusus untuk menyaring pencemar udara seperti pelitup muka respirator N95 atau N99.
“Bagaimanapun, perlu diingat bukan semua pelitup muka dibuat sama, ada yang mungkin tidak menyediakan perlindungan mencukupi terhadap pencemar udara. Penting untuk memilih pelitup muka yang menepati standard dan dipakai dengan betul bagi memastikan keberkesanan maksimum,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata situasi jerebu di negara ini dijangka lebih serius tahun ini berbanding tiga tahun sebelum ini, ekoran aktiviti perladangan dan industri yang kembali beroperasi secara biasa pascapandemik. – TVS