KUCHING, 22 April: Ketibaan 1 Syawal disambut umat Islam dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau di seluruh negara.
Di Masjid Jamek di sini menyaksikan ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari tiba pada pukul 7. 44 pagi, diikuti Tun Taib yang tiba pada kira – kira pukul 8 pagi.
Turut kelihatan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Solat sunat Aidilfitri itu yang bermula pada pukul 8. 15 dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi yang kemudiannya menyampaikan khutbah bertajuk Aidilfitri hargai nikmat kembali kepada fitrah.
Tun Taib dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Besar, Astana Negeri Sarawak selama dua hari bermula hari ini dari pukul 11 hingga 1 tengah hari dan 2.30 petang hingga 4.30 petang.
Manakala, pada Ahad pula bermula jam 11 pagi hingga 1 tengah hari.
Sementara itu Abang Johari dan isteri beliau, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang turut mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) selama dua hari bermula hari ini dari jam 10:30 pagi hingga 4 petang dan esok hari pada jam 10 pagi hingga 2 petang. – TVS