KUCHING, 22 April: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memberi ucapan Hari Raya Aidilfitri yang istimewa kepada rakyat negeri ini.
Kata beliau, ucapan berkenaan juga ditujukan kepada rakyat di luar bandar.
“Saya berharap agar dapat berjumpa saudara-saudara yang ada di luar bandar pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib di Astana Sarawak hari ini.
Sementara itu, Toh Puan Raghad pula berkata, beliau gembira menyambut Aidilfitri hari ini bersama rakyat Sarawak setelah beberapa tahun tidak berpeluang berbuat demikian berikutan pandemik COVID-19.
“Saya rasa seronok (kerana) kehidupan kembali seperti normal. Alhamdulillah, semua gembira, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” katanya.
Sementara itu, tetamu kenamaan turut memeriahkan rumah terbuka berkenaan.
Antara yang hadir termasuklah tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.
Turut kelihatan ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Manakala menteri di peringkat persekutuan yang hadir, antaranya ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Berdasarkan tinjauan TVS, walaupun rumah terbuka pada hari ini dibuka kepada menteri-menteri sahaja, namun orang awam turut hadir sejak pukul 10 pagi tadi.Â
Pengunjung yang hadir merangkumi masyarakat dari pelbagai kaum dan agama yang menjamu juadah yang disediakan oleh pihak Astana.
Pada majlis rumah terbuka pada hari ini, Tun Taib dan Toh Puan Raghad menyantuni para tetamu dengan meluangkan masa bersalaman dan menyampaikan duit raya.
Pada hari raya kedua, Tun Taib dan Toh Puan Raghad dijadualkan akan mengadakan rumah terbuka bermula pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari khas untuk ketua-ketua jabatan kerajaan, sektor swasta dan orang ramai di lokasi yang sama. -TVS