JAKARTA, 22 April: Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disambut meriah susulan Kerajaan Indonesia memansuhkan semua peraturan berkaitan COVID-19.
Seawal pagi, ribuan umat Islam memenuhi jalan raya di Kampung Melayu, Jakarta Timur untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Di Kedutaan Besar Malaysia Indonesia, di Kuningan, seramai 300 perantau Malaysia turut menunaikan solat sunat.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Dato Syed Md Hasrin, berkata warga Malaysia di sini bersyukur kerana sambutan tahun ini kembali meriah selepas kali terakhir merasai suasana demikian pada 2019.
“Saya kira tahun ini paling ramai kerana pada 2022, kita masih berdepan dengan sekatan akibat pandemik,” katanya.
Tambah beliau, pihak kedutaan turut membuat jemputan kepada diaspora secara terbuka pada tahun ini. -TVS