Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penghuni-penghuni di Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, Sarawak menunaikan solat. Foto: Aziz Soleh (TVS)

Syawal dalam nada sesal bagi pelajar Henry Gurney

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 22 April: Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri amat berbeza ertinya untuk pelajar Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo yang terpaksa menikmati lebaran di pusat pemulihan itu.

Mereka mengakui sejak di sini, Aidilfitri telah hilang serinya bahkan telah melakar episod duka ke dalam hidup masing-masing kerana terpaksa menanggung rindu untuk beraya bersama keluarga tercinta.

Baca artikel berkaitan > > > Rindu menerpa setiap Ramadan dan Syawal, penghuni Henry Gurney luah perasaan

Berpeluang mengunjungi sekolah bekenaan pada Hari Raya pertama ini, TVS telah menyelami liku duka yang sarat ditanggung oleh anak-anak muda di sini.

Riak wajah serta bola mata mereka jelas memancarkan kesedihan yang menyelebungi raga para pelajar yang berada di pusat tahanan khas terbabit.

Berkongsi rasa pilu, Amran Naim (bukan nama sebenar), 21, yang kini memasuki tahun ketiga meraikan Syawal di Henry Gurney mengakui tempoh itu telah cukup mendewasakan dirinya kerana tidak dapat menatap wajah ibu bapanya di pagi raya.

“Raya ini saya rindu sangat nak peluk dengan mak ayah saya sebab dah lama saya tidak berjumpa dengan mereka, sudah tiga tahun saya dekat dalam ini.

“Saya nak sangat cium mak ayah saya, nak mohon maaf sebab kita tidak tahu bila mereka akan pergi buat selama-lamanya.

“Kepada mak ayah, adik ucap Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin, maafkan adik sebab dah selalu sakitkan hati mak dan ayah, adik berjanji tidak ulang lagi,” luahnya dalam nada pilu.

Amran yang dijatuhi hukuman tiga tahun sejak 2020 atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah sebelum ini, kini bergelar antara pelajar contoh di sekolah itu.

Sementara itu, menyesali akan kesalahan lalunya yang telah menghancurkan hati orang tua kata Wan Nazmi (bukan nama sebenar), 19, merayu maaf kepada ibu bapanya.

Wan yang didakwa di bawah Akta 376 (1) akibat merogol turut berjanji tidak akan mengulangi perbuatan terkutuk ini setelah tamat pengajian di sekolah berkenaan.

“Maafkan Nami sebab Nami dah buat kesalahan, mungkin Nami mengecewakan mak ayah, tapi Nami janji takkan ulang lagi perkara ini.

“Dekat sini Nami banyak baca Al-Quran untuk hilangkan kesedihan dan beri ketenangan kepada Nami sepanjang berada di sini, “ luahnya dalam nada lega.

Anak keempat daripada lima adik-beradik itu mengakui dirinya kini berlapang dada menyambut Aidilfitri di sekolah tersebut berikutan baginya ia adalah balasan setimpal dengan perbuatan yang dilakukannya.

Situasi serupa bagi Hafiz Aziz (bukan nama sebenar), 20, yang dijatuhi hukuman tiga tahun akibat memiliki motosikal curi mengakui dirinya tidak berkecil hati kerana keluarganya tidak pernah melawatnya di sini.

“Keluarga tak pernah langsung lawat sebab mereka jauh di Sibu. Raya dekat sini memang sedih sebab selalu ingat keluarga…tapi Alhamdulillah mereka ada juga hubungi saya.”

“Sempena Hari Raya ini, abang nak mintak maaf dengan mak dan keluarga atas kesalahan abang selama ini.”

“Abang harap mak dan ayah dapat terima abang lagi, abang rindu dengan keluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Penyelia Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, Sarjan Muhammad Aliff Abdullah, sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekolah itu dilakukan secara sederhana.

“Hari Raya di sini tidaklah semeriah seperti mana budak-budak dekat luar sana. Dekat sini kita bagi sekadar apa yang ada sahaja supaya apabila mereka berada di luar nanti, mereka dapat belajar erti kesederhanaan,“ ujarnya.

Beliau menambah, para penghuni akan mula menerima lawatan dari ahli keluarga masing-masing pada Hari Raya ketiga nanti.

Pada Hari Raya pertama, para penghuni di sini menghadiri solat sunat Hari Raya seawal jam 8 pagi, disusuli dengan sesi bermaaf-maafan antara penghuni dan pegawai sebelum menjamu juadah yang disediakan oleh pihak Penjara Puncak Borneo. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan