KUCHING, 22 April: Keupayaan Sarawak untuk mencapai Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS) 2030 akan turut dipacu oleh sumber insan berkualiti, kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, sehubungan itu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mentadbir wilayah ini akan terus memperkukuhkan sistem pendidikan selaras dengan Peruntukan Fasal 17, Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Kata beliau, walaupun bidang itu tertakluk kepada Kerajaan Persekutuan, namun Sabah dan Sarawak diberi kuasa untuk menentukan dasar sistem pendidikannya sendiri menerusi IGC.
“Kesungguhan Kerajaan Sarawak ke arah melahirkan sumber modal insan yang disesuaikan dengan keperluan negeri dan bertaraf global boleh dilihat daripada cadangan pengwujudan lima buah sekolah antarabangsa yang menggunakan silibus Cambridge.
“Salah satu daripada sekolah tersebut sudah beroperasi di Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2023.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, hasrat memacu pendidikan Sarawak itu juga diperkukuhkan dengan kewujudan empat buah universiti yang dimiliki melalui Yayasan Sarawak iaitu Swinburne University of Technology, Curtin University, University of Technology Sarawak (UTS) dan iCATS University College.
“Sarawak juga mempunyai pusat latihan, iaitu CENTEXS yang memiliki kampus-kampus cawangan,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak sangat memahami bahawa kekuatan sumber manusia merupakan elemen penting untuk menjadi kuasa ekonomi.
“Ini boleh kita pelajari daripada pengalaman Singapura dan Jepun mampu menjadi sebuah kuasa ekonomi kerana kekuatan sumber manusianya walaupun tidak mempunyai sumber asli,” katanya.
Abang Johari berkata, impian Sarawak ini harus disokong oleh sumber modal insan yang terlatih dengan sistem pendidikan yang bertaraf dunia kerana kekayaan sumber asli sahaja bukan jaminan.
Katanya lagi, perubahan landskap pembangunan global ke arah masa depan yang lestari juga telah menyakinkan GPS untuk merangka PCDS 2030 berteraskan kemajuan ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Sarawak mempunyai keupayaan untuk terus berada pada landasan yang kukuh ke arah menjadi wilayah maju serta berpendapatan tinggi menjelang 2023,” katanya. -TVS