KUCHING, 22 April: Langkah seterusnya ke arah merealisasikan syarikat penerbangan milik negeri kini terserah kepada bidang kuasa dua Kementerian Pengangkutan (MOT) di Putrajaya dan Sarawak.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu lepas.
Kata beliau, Kabinet tidak mempunyai halangan berhubung rancangan berkenaan seperti jaminan diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kabinet kini menyerahkan kepada MOT untuk melakukan perbincangan dengan MOT Sarawak.
“Dalam mesyuarat tempoh hari, tiada bantahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib di Astana Sarawak, hari ini.
Baca artikel berkaitan:
1. Kerajaan setuju Sarawak miliki syarikat penerbangan sendiri – Anwar
2. Penubuhan syarikat penerbangan Sarawak sedang diperhalusi – Hasbi
3. Bukan mahu bersaing, Sarawak hanya mahu stabilkan harga tiket penerbangan – Abang Johari
4. Kerajaan teliti mekanisme tangani isu tiket penerbangan mahal ke Sabah, Sarawak – Loke
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, pada peringkat ini, King Sing beberapa aspek lain turut dikaji.
“Kita sedang memikirkan sama ada boutique airline itu akan mengambil alih syarikat penerbangan lain atau mewujudkan yang baharu, “ katanya.
Mengulas lanjut, Tiong berkata, tujuan penubuhan syarikat itu bukan untuk meraih keuntungan sebaliknya bagi membantu rakyat.
“Kita mempunyai banyak kawasan luar bandar, jadi penting untuk Kerajaan Sarawak melakukannya.
“Ia akan memberi manfaat kepada anak Sarawak,” jelasnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsipnya dengan cadangan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan boutique airline dan memberitahu bahawa cadangan berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet Kerajaan Persekutuan. – TVS