Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Asap di Omdurman, berhampiran Jambatan Halfaya, semasa pertempuran antara Pasukan Sokongan Pantas Paramiliter dan tentera. Foto: Reuters

Konflik Sudan: Dua rakyat Malaysia berjaya dipindahkan ke lokasi selamat – Zambry

ByBernama

KUALA LUMPUR, 21 April: Dua rakyat Malaysia yang berada di Sudan telah dibawa keluar dari tempat mereka dan dipindahkan ke lokasi selamat, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata operasi pemindahan berkenaan adalah sebagai langkah persediaan Kedutaan Malaysia di Khartoum, Sudan untuk mengumpul rakyat Malaysia di satu lokasi yang selamat bagi proses pemindahan keluar dari Khartoum kelak.

“Alhamdulillah, semalam, setelah membuat penilaian yang mendalam dan dengan mandat daripada Pasukan Khas Wisma Putra, pegawai Kedutaan Besar kita di Khartoum telah berjaya membawa keluar dua rakyat Malaysia dari tempat mereka ke lokasi selamat.

“Dalam operasi berkenaan, pegawai kita turut membantu membawa dua warga Kanada, satu warga Amerika Syarikat dan dua warga United Kingdom dari kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Baca artikel berkaitan:
1. Krisis Sudan: Wisma Putra usaha sedaya upaya bawa pulang rakyat Malaysia

2. Rakyat Malaysia di Sudan dibawa pulang sebaik keadaan mengizinkan

Zambry berkata meskipun operasi berkenaan amat berisiko tinggi, namun ia perlu dilaksanakan bagi menjamin keselamatan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan.

Situasi di Sudan terutama di kebanyakan lokasi di ibu negara Khartoum semakin meruncing sepanjang masa dengan pertempuran antara Tentera Sudan (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF).

Mengulas lanjut, Zambry berkata situasi di Sudan amat kompleks dan ia berubah setiap masa dengan kedua-dua pihak yang bertelagah masih meneruskan pertempuran.

Katanya, gencatan senjata yang diusulkan beberapa kali oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Afrika (AU), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Amerika Syarikat langsung tidak dipatuhi.

“Marilah kita memanjatkan doa dan memohon kepada Yang Maha Esa untuk menjaga dan melindungi keselamatan rakyat kita di Sudan dan operasi membawa mereka pulang ke tanah air dipermudahkan-Nya,” katanya.  -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan