BINTULU, 20 April: Seorang wanita terkorban dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 7, berhampiran Simpang Bakun, Lebuhraya Pan Borneo Bintulu – Miri hari ini.
Pertembungan dua kenderaan itu menyebabkan mangsa, Suzanti Yakob, 49, yang memandu kereta Perodua Myvi meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju, Penolong Penguasa Bomba Hashim Norshidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.44 pagi.
“Sepasukan lima anggota dari BBP Samalaju dikejarkan ke lokasi kejadian dan setibanya di situ, pasukan mendapati mangsa dalam tidak sedarkan diri serta kakinya tersepit,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau memberitahu, mangsa lelaki dalam Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan itu selamat.
Katanya, wanita itu berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mayat telah diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Bintulu bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987. -TVS