KUCHING, 21 April: Parti Rakyat Sarawak (PRS) berhasrat menyertai Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada Mei depan, kata Presidennya Datuk Joseph Salang Gandum.
Bagaimanapun, menurut Joseph, keputusan mengenai perkara itu belum lagi dimuktamadkan.
“Kita ingin menghantar ahli kita (PRS) untuk mewakili GPS, tetapi seperti yang saya katakan ia belum dimuktamadkan lagi.
“Apabila ia dimuktamadkan kelak, kita akan memilih dan mengesyorkan siapa ahli dalam kalangan parti yang akan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri konvensyen itu nanti,“ katanya pada sidang media Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS) di sini, hari ini.
Namun begitu Joseph mengulas berhubung tarikh cadangan penganjuran konvensyen itu yang dijadual berlangsung Mei depan dilihat tidak bertepatan dengan jadual Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
“Cadangan pada 14 Mei, tetapi memandangkan hari tersebut adalah hari Ahad iaitu sehari sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, maka kita nyatakan kebimbangan tentang kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kita (PRS) tidak dapat mengambil bahagian,“ jelasnya.
PRS yang mempunyai lima wakil rakyat masing-masing dari Selangau, Lubok Antu, Sri Aman, Kanowit dan Hulu Rajang merupakan parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta rakan dalam Kerajaan Perpaduan. – TVS