KUCHING, 21 April: Jualan perabot menyaksikan terus meningat pada musim perayaan kali ini.
Menurut Pengurus Kanan BROWN Furniture Sdn Bhd Michael Chiang, pihaknya berjaya mencecah jualan sebanyak 50 peratus pada tahun ini berbanding tahun lepas.
Situasi berkenaan katanya susulan orang ramai dilihat semakin yakin untuk berbelanja.
“Ya, mungkin ia berkait rapat dengan keadaan ekonomi negara, orang ramai semakin yakin dan berani untuk berbelanja. Berbanding beberapa tahun lepas, kebanyakan mereka menahan diri kerana tidak tahu bagaimana keadaan ekonomi di masa akan datang.
“Sekarang, mereka lebih yakin setelah melihat keadaan ekonomi pada masa kini dan mereka sanggup untuk berbelanja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS baru-baru ini di Kuching.
Kilangnya yang bertapak di Kuching, sering mendapat tempahan daripada pelanggan dari Kuching, Sibu dan juga Semenanjung Malaysia.
Melihat kepada sambutan yang diterima oleh pihaknya, Michael berpendapat ia merupakan petanda yang baik dan dapat menjadi perangsang kepada ekonomi negara secara keseluruhannya.
Menurutnya BROWN Furniture Sdn Bhd juga bekerjasama rapat dengan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh PUSAKA bagi membantu pemain industri perkayuan di Sarawak.
“Kami hanya berharap peningkatan jualan ini akan berterusan, bukan sahaja untuk tempoh hari raya ini mungkin akan berterusan sehingga akhir tahun tetapi seperti yang saya lihat, ia akan menjadi sangat baik.
“Sebab ia juga bergantung kepada orang yang membeli rumah baharu. Sebaik sahaja mereka membeli rumah baharu, mereka semestinya memerlukan perabot untuk rumah mereka. Kita sudah tentu juga memerlukan sedikit bantuan daripada PUSAKA, untuk membantu kita mempromosikan,” ujarnya lagi.
Bercerita lanjut, Michael berkata orang ramai masih berminat untuk membuat tempahan perabot yang dibuat khas walaupun sudah terdapat banyak tempat yang menjual perabot sedia ada.
Keistimewaan perabot yang dibuat di kilangnya ialah kayu yang digunakan kebanyakannya kayu belian dan kayu selangan.
Kayu-kayu yang digunakan untuk membuat perabot ujarnya tidak dicantum menggunakan paku besi, tetapi hanya menggunakan teknik pasak.
Ia bagi membuatkan perabot tahan lama dan mengelakkan daripada masalah paku berkarat.
“Jika dibandingkan dengan produk yang orang lain buat, mereka akan menggunakan skru kerana kayu itu adalah papan lapis.
“Kami menggunakan kerja pertukangan yang sangat tradisional. Mereka panggil apa, pasak. Dia buat lubang, jadi dia buat kayu pin, dia masukkan. Tidak ada paku,” cerita Michael.
Selain menerima tempahan daripada orang persendirian, BROWN Furniture Sdn Bhd turut menerima tempahan daripada pengusaha restoran, cafe dan sebagainya. – TVS