KUALA LUMPUR, 20 April: RHB Investment Bank Bhd semalam mengekalkan pendiriannya bahawa prestasi perdagangan negara dijangka bertambah baik menjelang separuh kedua 2023 berikutan pemulihan yang diramalkan dalam ekonomi global.
Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya pertumbuhan global dijangka meningkat menjelang separuh kedua 2023 dengan kedudukan kewangan yang stabil berikutan kebanyakan bank pusat utama global akan mencapai kemuncak objektif dasar kadar faedahnya, dan momentum inflasi mungkin terus reda.
“Eksport dijangka tidak merosot pada separuh pertama 2023. Walaupun terdapat penyusutan tahun ke tahun pada Mac, kami meramalkan kestabilan yang berterusan bagi momentum eksport dan import, menunjukkan paras terendah proses pertumbuhan eksport boleh berlaku seawal separuh kedua 2023,” katanya.
Walaupun, permintaan luaran suram, RHB Investment berpandangan risiko terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia akan dapat dihadkan.
“Ekonomi domestik yang didorong oleh keadaan pasaran buruh yang teguh, projek infrastruktur berskala besar yang berterusan dan peningkatan aktiviti pelancongan, akan terus merangsang momentum ekonomi.
“Analisis terperinci kami menunjukkan ekonomi domestik menjadi lebih besar, dan pergantungan luaran khususnya pasaran buruh terhadap situasi ekonomi global, semakin merosot,” katanya.
MIDF Research pula menjangkakan pertumbuhan eksport Malaysia akan menyederhana kepada 6.2 peratus tahun ini berbanding ramalan terdahulu iaitu 9.2 peratus.
Firma penyelidikan itu berpendapat, import akan meningkat kepada 6.4 peratus daripada ramalan 9.5 peratus sebelum ini.
Menurutnya semakan semula terhadap ramalan eksport mencerminkan andaian bahawa rangsangan yang dijangkakan daripada pembukaan semula ekonomi China adalah perlahan.
“Kami masih meramalkan pemulihan permintaan dari China akan memberi kesan positif kepada perdagangan Malaysia pada akhir tahun ini.
“Secara umumnya, kami mengekalkan pandangan optimis, namun berhati-hati bahawa perdagangan akan terus berkembang. Bagaimanapun, unjuran itu boleh dijejaskan oleh inflasi tinggi, peningkatan kos pinjaman dan faktor yang menjejaskan bekalan (seperti ketegangan geopolitik atau halangan perdagangan) yang akan menyebabkan permintaan global lebih lemah,” katanya.
MIDF Research berkata pertumbuhan import yang positif menandakan pembelian barangan asing meningkat berikutan kenaikan perbelanjaan domestik dan aktiviti pelaburan.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri semalam mengumumkan perdagangan Malaysia merosot sebanyak 1.6 peratus kepada RM232.72 bilion pada Mac 2023, manakala eksport berkurangan 1.4 peratus kepada RM129.71 bilion dan import turun 1.8 peratus kepada RM103.01 bilion tahun ke tahun.
Menurut MIDF Research, penyusutan itu lebih ketara berbanding konsensusnya dan pasaran memandangkan pihaknya meramalkan kesan asas yang tinggi dan sokongan meningkat yang terhad susulan pemulihan ekonomi China akan menyebabkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lemah.
Katanya kemerosotan itu turut berpunca daripada eksport domestik yang lebih rendah (4.1 peratus tahun ke tahun), berbanding dengan pertumbuhan berterusan eksport semula (10.3 peratus tahun ke tahun).
“Kami jangka harga komoditi yang secara relatifnya lebih rendah mungkin akan mempengaruhi prestasi perdagangan untuk tempoh beberapa bulan akan datang sebelum impaknya berkurangan pada separuh pertama 2023,” katanya.