JAKARTA, 20 April: Empat anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang dilaporkan hilang minggu lalu selepas diserang kumpulan pengganas Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TNPB) ditemukan meninggal dunia.
Baca artikel berkaitan >>>>> Indonesia mulakan serangan ketenteraan terhadap pemisah di Papua
Panglima Angkatan Tentera Indonesia, Laksamana Yudo Margono berkata, mayat kesemua mereka ditemukan dalam keadaan cedera parah dipercayai akibat ditembak.
Katanya, mereka merupakan antara 36 askar yang menyertai operasi menyelamat juruterbang New Zealand, Phillip Mark Mehrtens, yang menjadi tebusan kumpulan itu di Kabupaten Nduga, Papua.
“Pencarian akhirnya berjaya, operasi ketenteraan dilanjutkan dan setakat ini kita tingkatkan mod amaran pertempuran,” katanya selepas menerima ketibaan jenazah hari ini.
Sehubungan itu, Yudo mengarahkan TNI bersiap sedia untuk bertindak balas terhadap serangan kumpulan itu.
Keempat – empat jenazah askar itu dibawa ke Pangkalan Udara Halim Perdana Kusuma di sini untuk majlis penghormatan terakhir sebelum dibawa ke rumah keluarga masing – masing. -TVS