BINTULU, 20 April: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda bersama tongkang atas kesalahan beroperasi tanpa kebenaran.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd. Khairol Anuar Saad berkata, bot dan tongkang berkenaan ditahan pada kedudukan 7.32 batu nautika dari Tanjung Batu, sekitar pukul 1 petang semalam.
Ujarnya, penahanan dibuat susulan kegagalan nahkoda mengemukakan sebarang dokumen semasa pemeriksaan dijalankan.
“Bot tunda dan tongkang yang dikendalikan oleh lima orang kru termasuk seorang nahkoda dan seorang warga Indonesia berusia 20 hingga 52 tahun itu didapati membawa lori, mesin jengkaut dan jentera penyedut pasir tanpa dokumen berkaitan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun katanya kesemua kru termasuk warga asing tidak ditahan kerana mempunyai dokumen lengkap serta permit kerja yang sah.
“Kes berkenaan akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebih RM10 000 jika disabitkan kesalahan,” tambahnya. -TVS