KUCHING, 20 April: Seramai 2,375 peserta telah mengesahkan penyertaan pada Spartan Race 2023 yang bakal berlangsung di Universiti Curtin, Miri pada 6 Mei depan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 1,664 orang merupakan peserta luar negara.
Katanya, mereka akan bertanding mewakili Bahrain, Kemboja, Hong Kong, New Zealand, Singapura, Thailand, Kuwait, India dan Jepun.
“Pengesahan peserta bertanding menunjukkan sambutan yang sangat menggalakkan terhadap acara ini.
“Setakat ini, Singapura merupakan negara luar yang menghantar peserta paling ramai iaitu sebanyak 300 orang.
“Namun begitu, kita menjangkakan menjelang hari perlumbaan, peserta dari Brunei berkemungkinan akan lebih ramai mendaftar dan mengatasi Singapura,” katanya pada sidang media Spartan Race 2023 di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.
Yang turut hadir, dua Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew Yang.
Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan lokasi penganjuran Spartan Race 2023, Abdul Karim berkata, Miri dipilih dalam usaha Kerajaan Sarawak membantu merancakkan lagi industri pelancongan di bandar raya itu.
“Acara seperti ini akan menjadikan Miri sebagai tumpuan kerana para perserta terutama dari negara luar mungkin mereka akan tinggal di situ.
“Miri mempunyai pelbagai produk pelancongan seperti laut, hutan-hutan dan gua,” ujarnya.
Menurut Abdul Karim, Spartan Race 2023 menampilkan dua kategori utama iaitu super dengan perlumbaan 10 kilometer (km) membabitkan 25 halangan dan sprint dengan perlumbaan sejauh lima km dengan 20 halangan.
Selain itu, turut akan diadakan Spartan Kids Race bagi jarak 800 meter, 1.6 km dan 3.2 km untuk kanak-kanak berumur lima hingga 14 tahun.
Ini merupakan edisi ketiga penganjurannya yang sebelum ini berlangsung Kuching pada 2019 dan 2022. – TVS