SHAH ALAM, 19 April: Kerajaan akan memperluas Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada tiga badan sukarelawan iaitu Rejimen Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Angkatan Tentera dan Pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia susulan permohonan yang dikemukakan badan terbabit.
“Elaun untuk sukarelawan, ada permohonan yang dimasukkan iaitu sukarelawan askar wataniah, sukarelawan angkatan tentera dan sukarelawan maritim.
“Semua akan masuk bawah bantuan kategori sukarelawan Aidilfitri,” katanya selepas tinjauan ramah mesra bersama peniaga di Bazar Ramadan PKNS di sini hari ini.
Menurut Kementerian Kewangan, seramai 26,000 orang daripada ketiga-tiga badan sukarelawan akan menerima bantuan khas kewangan yang melibatkan peruntukan RM7.8 juta.
Pada 29 Mac lepas, kerajaan mengumumkan lebih 200,000 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia, Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam, sukarelawan polis dan bomba akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri berjumlah RM300. – TVS