Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kesalahan silam membuatkan para penghuni Henry Gurney terpaksa menjalani ibadah puasa dengan penuh kesederhanaan dan jauh dari keluarga. Foto: Aziz Soleh (TVS)

Rindu menerpa setiap Ramadan dan Syawal, penghuni Henry Gurney luah perasaan

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 19 April: Ketika remaja seusia mereka teruja menjalani ibadah puasa bersama insan tersayang di rumah, nikmat itu tidak dirasai oleh para pelajar Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, di sini.

Ramadan mereka diisi dengan aktiviti bersahur, tarawih dan berbuka puasa hanya bersama rakan senasib yang jauh berbeza dengan suasana bersama keluarga.

Kesalahan silam telah meletakkan pelajar di sini hingga terpaksa menjalani ibadah puasa di sebalik pusat tahanan khas itu dengan penuh kesederhanaan.

Penghuni-penghuni di Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, Sarawak menunaikan solat. Foto: Aziz Soleh (TVS)

Pada Ramadan ini, para pelajar beragama Islam semakin mengerti makna sebenar kebebasan dan kasih sayang keluarga.

Perasaan itu dikongsikan oleh para pesalah juvana yang ditempatkan di Penjara Puncak Borneo ketika ditemui TVS pada Selasa.

Menurut seorang penghuni yang mahu dikenali sebagai Daniel Wafi (bukan nama sebenar), 21, kesedihannya tebal terasa pada setiap kali Ramadan kerana merindui keluarganya yang sudah lama tidak ditemui sejak dia mula melangkah masuk ke sekolah itu.

Baca artikel berkaitan > > > Syawal dalam nada sesal bagi pelajar Henry Gurney

Pemuda dari Sibu itu yang dijatuhi hukuman selama tiga tahun selepas ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 memberitahu, membaca Al-Quran menjadi rutin hariannya di sepanjang Ramadan kerana ia memberi ketenangan dan kekuatan kepada dirinya untuk menghabiskan hukuman di Henry Gurney.

“Ini tahun ketiga saya berpuasa dekat dalam ini. Sebelum ini kalau dekat luar saya tidak tahu dan tidak pernah baca Al-Quran, tetapi apabila masuk dalam ini saya belajar dan sudah pandai membaca dan berjaya khatam kitab suci ini.

“Bagi saya, membaca Al-Quran memberi ketenangan kepada jiwa…saya berasa sangat tenang, “ luahnya.

Daniel yang bakal dibebaskan pada Julai tahun ini berjanji tidak mengulangi kesalahan yang dilakukannya sebelum ini dan berazam bahawa ini merupakan Ramadan terakhirnya sebagai tahanan muda.

Bagi Amran Naim (bukan nama sebenar), 21, pula mengakui rasa ingin mencuba telah menjerat dirinya setelah terjerumus dalam aktiviti pengedaran dadah yang akhirnya mengorbankan usia mudanya di sebalik 

“Saya berasal dari Sri Aman dan saya dimasukkan ke sini sebab terlibat dengan jenayah edar dadah.

“Bulan Ramadan ini, saya rindu dengan mak ayah saya, kadang-kadang saya rindu nak berbuka puasa dengan kedua ibu bapa saya.

“Sekarang ini, ayah saya diserang penyakit angin ahmar, jadi saya sangat sedih dan berharap sempat untuk berjumpanya apabila bebas kelak.

“Kalau dapat diundurkan masa, saya nak belajar rajin-rajin dan tak mahu terlibat dalam aktiviti dadah ini,“ katanya.

Manakala, bagi Adam Nor, 19, pula, dia yang menjalani hukuman atas kesalahan sama mengakui rasa rindu sering bermain dibenaknya, ekoran sudah tidak sabar untuk kembali kepada pangkuan ahli keluarganya apabila bebas nanti.

“Saya ditangkap pada usia 17 kerana terlibat sebagai pengedar dadah. Ramadan di sini ini agak berbeza sedikit sebab dekat luar sana gembira dengan ahli keluarga, tetapi dekat dalam ini ada sedikit rasa sedih.

“Perkara yang saya kesali terhadap perbuatan saya ialah nenek saya meninggal dunia ketika saya dekat dalam ini, walaupun pihak penjara membenarkan saya untuk melawat jenazah beliau, namun ia merupakan perkara yang paling saya kesali,” katanya.

Dalam pada itu, Pembantu Ketua Unit Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, Inspektor Penjara Rody David mendedahkan sepanjang Ramadan ini, pihak penjara menganjurkan aktiviti ibadah dan program bersifat kerohanian sebagai pengisian kepada para penghuni.

“Kita anjurkan bergotong-royong untuk membuat bubur lambuk, tadarus Al-Quran, ceramah dan solat sunat tarawih.

“Berdasarkan pemerhatian kita, pada bulan Ramadan ini, sikap para penghuni di sini amat memuaskan dan sudah dikawal serta dapat dilihat telah timbul keinsafan ke dalam jika masing-masing,” katanya.

Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo yang beroperasi sejak 2016 menempatkan seramai 120 pesalah juvana lelaki dari seluruh Sarawak atas pelbagai kesalahan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan