KUCHING, 19 April: Seramai 19 banduan Penjara Sarawak iaitu Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) diberi pelepasan pulang sempena Aidilfitri.
Pengarah Penjara Sarawak, Timbalan Komisioner Penjara Mohd Andri Md. Ridzwan berkata, daripada jumlah itu, 16 dari penjara Penjara Puncak Borneo dan tiga dari Penjara Pusat Miri.
“Hari ini secara serentak di seluruh negara, seramai 1,000 penghuni penjara Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dibenarkan pulang sempena Aidilfitri.
“Jadi Sarawak tidak ketinggalan untuk perkara ini dan baru saja sebentar tadi saya sendiri melepaskan mereka secara berlesen,” katanya kepada TVS selepas Program Sumbangsih di Penjara Puncak Borneo, di sini, hari ini.
Program Sumbangsih Aidilfitri disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah.
Mohd Andri berkata lagi, sebahagian besar mereka ini pulang ke pangkuan keluarga sempena Aidilfitri dan ada juga majikan yang mengambil mereka untuk kembali bekerja.
“Ini berdasarkan pada kajian yang dilaksanakan di negara maju dan kita tidak ketinggalan dari segi melaksanakan program ini.
“Seseorang pesalah program pemulihan tidak boleh terhenti dalam institusi semata-mata kerana dalam institusi itu mereka boleh diberi apa sahaja program pemulihan, tetapi cabaran sebenar mereka adalah di dalam komuniti apabila mereka kembali semula kepada masyarakat.
Menurutnya, berdasarkan kajian golongan ini tidak wajar dibebaskan terus kembali kepada msyarakat begitu sahaja.
“Harus ada tempoh transisi, harus ada tempoh bagi mereka ini diberi pelepasan kembali kepada komuniti, tetapi masih lagi di bawah pengawasan dan penyeliaan,” ujarnya.
Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Jabatan Penjara akan melaksanakan pelepasan OBB di bawah PBSL Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Aidilfitri ini.
Menurut Anwar ikhtiar itu memberi peluang kepada penghuni penjara beragama Islam untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga mereka. – TVS