KUCHING, 19 April: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) akan bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia di Sarawak untuk melaksanakan Program Pemerkasaan Keluarga Berpendapatan Rendah (LIFE).
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program itu akan dilaksanakan secara pelbagai dimensi (multi-dimensional) untuk membantu golongan memerlukan.
“Program ini lebih kepada geran untuk membantu memulakan perniagaan dengan memberi fokus kepada satu kumpulan yang miskin dan membantu mereka.
“Kita bekerjasama dengan Jabatan Penjara menerusi program pembasmian kemiskinan ini supaya kita dapat kumpulan sasaran yang sesuai untuk diberi bantuan di bawah program LIFE. Dari situ bantuan modal akan diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS selepas Program Ziarah dan Sumbangsih Raya 2023 di Jabatan Penjara Malaysia di Jalan Puncak Borneo, di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah Penjara Sarawak, Timbalan Komisioner Penjara Mohd Andri Md. Ridzwan.
Jelas Fatimah lagi, program itu bukan sahaja boleh membantu meningkatkan pendapatan tetapi juga memastikan keperluan dalam keluarga itu lengkap sama ada dari sudut pendidikan, kesihatan, tempat tinggal dan persekitaran mereka diberi perhatian.
Sementara itu, pada 19 Mac lalu, Fatimah turut bersetuju untuk memberikan tumpuan kepada golongan banduan terutama wanita menerusi program ini.
Program LIFE adalah program yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memperkasakan golongan miskin tegar, miskin dan golongan B40. – TVS