BINTANGOR, 18 April: Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, bomba mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada semasa bermain mercun dan bunga api.
Beringat sebelum kena kerana sambutan perayaan tidak sepatutnya berakhir dengan insiden yang tidak diingini hanya kerana kecuaian selain membiarkan anak-anak bermain mercun tanpa pemantauan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Penolong Penguasa Bomba Nicholas Belulin berkata, perkara itu wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak khususnya ibu bapa.
“Memang kurang meriah sekiranya tiada mercun dan bunga api semasa musim perayaan. Saya menasihatkan bermain mercun atau bunga api di lokasi yang sesuai iaitu jauh dari kawasan kediaman dan sumber yang boleh terbakar bagi mengelakkan kebakaran berlaku secara besar-besaran,” katanya ketika ditemui media pada hari ini.
Nicholas berkata, kelalaian bukan sahaja boleh mengakibatkan kemusnahan harta benda tetapi juga kecederaan dan kehilangan nyawa.
Menyentuh mengenai keselamatan bangunan pula, beliau menegaskan pihak bomba sentiasa mengambil pendekatan proaktif dalam menangani perkara tersebut.
“Pemeriksaan akan dilakukan di kawasan premis perniagaan kerana musim perayaan bermacam-macam hiasan akan dipasang.
“Contohnya bagi pasar raya yang besar sistem keselamatan kebakaran memang lengkap dengan pemercik dan pengesan haba tetapi kadang-kadang perhiasan boleh menutup kawasan tempat pencegahan kebakaran,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, bomba sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana sama ada melibatkan kebakaran hutan, bangunan dan kemalangan. – TVS