KUCHING, 18 April: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk meningkatkan Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) kepada RM400 juta.
Menurut Perdana Menteri, keputusan berkenaan merupakan sokongan kerajaan pusat kepada kepada kerajaan negeri pada tahun ini.
Anwar berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan oleh beliau serta dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri atau wakil dari setiap negeri.
“Keputusan ini menzahirkan komitmen serta kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan acuan negeri masing-masing dan seterusnya dapat memperkukuh lagi momentum pemulihan ekonomi ke arah pembangunan Malaysia Madani.
“Sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2023, Majlis Kewangan Negara bersetuju dengan kenaikan peruntukan Pemberian Ecological Fiscal Transfer (EFT) kepada RM150 juta berbanding RM70 juta pada 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media dikeluarkan di Putrajaya selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg antara ketua kerajaan negeri yang menghadiri mesyuarat itu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kenaikan berkenaan merupakan bentuk galakan khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan perlindungan baharu.
Kata beliau, Kerajaan Persekutuan juga bersetuju untuk menambah baik penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri bagi menyelenggara jalan dan kerja-kerja lain yang berkaitan di kawasan perumahan berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan (serta penggantian papan tanda nama jalan dan lorong bagi jalan.
“Antaranya melibatkan jalan kampung, jalan taman, dan papan-papan tanda jalan lain selain daripada penunjuk arah.
“Kerajaan Negeri disaran untuk memberi keutamaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di negeri masing-masing kepada kontraktor Kelas G1 hingga G4 dan tidak hanya tertumpu kepada beberapa syarikat konsesi besar sahaja,” kata beliau.
Langkah itu ujar Anwar bertujuan untuk membantu kitaran ekonomi kontraktor-kontraktor kecil dengan lebih adil dan secara tidak langsung dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara lebih tuntas.
“Kerajaan Persekutuan amat memahami kepentingan dan keperluan penyelenggaraan berkala di Jalan Persekutuan supaya keadaan jalan sentiasa selamat dan selesa untuk kegunaan rakyat. Untuk itu, Kementerian Kewangan akan menambah peruntukan sebanyak RM250 juta lagi bagi penyelenggaraan berkala pavemen Jalan Persekutuan,” katanya.
Penambahan itu jelas Anwar menjadikan peruntukan keseluruhan penyelenggaraan berkala pavemen Jalan Persekutuan meningkat kepada RM1 bilion berbanding RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023. -TVS