Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tukang jahit kerdil, Nurul Izzah Mohd. Asri, 25, melakukan kerja menyiapkan tempahan pelanggan di sebuah bengkel khas di rumah keluarganya di Merbau Kudung, Sungai dua di sini. Foto: TVS

Nurul Izzah, gadis ‘kerdil’ gigih siapkan tempahan baju raya

BUTTERWORTH, 18 April: Seorang gadis orang kelainan upaya (OKU) kerdil di Merbau Kudung, Sungai Dua di sini tidak menjadikan kekurangan itu sebagai alasan untuk tidak berusaha dan memajukan diri.

Nurul Izzah Mohd. Asri, 25, sebaliknya memilih menggilap bakat dengan bergelar tukang jahit biarpun ketinggiannya hanya 117 sentimeter (cm).

Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, rezekinya bertambah menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri apabila menerima tempahan menjahit baju lebih banyak.

Kata Nurul Izzah, sepanjang Ramadan kali ini, dia menerima tempahan kira-kira 50 pasang baju untuk disiapkan sebelum hari raya yang berbaki beberapa hari lagi.

“Saya hanya mampu menjahit antara empat ke lima pasang seminggu dan melakukannya bersendirian tanpa bantuan pekerja sejak sebelum puasa.

Tukang jahit kerdil, Nurul Izzah Mohd. Asri, 25, melakukan kerja menyiapkan tempahan pelanggan di sebuah bengkel khas di rumah keluarganya di Merbau Kudung, Sungai dua di sini. Foto: TVS

“Antara pakaian yang saya terima tempahan termasuklah baju kurung, baju Melayu, baju kebaya dan jubah sama ada untuk kanak-kanak atau dewasa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ujar Nurul Izzah, dia gembira kerana pelanggannya memberi kepercayaan tanpa sebarang diskriminasi biarpun terdapat sedikit kekurangan diri.

“Pelanggan begitu memahami dan tidak memandang sinis sebaliknya memberi sokongan dan motivasi, bahkan mempromosikan kepada rakan-rakan mereka.

“Ketika mengambil ukuran badan pelanggan, saya akan memanjat kerusi dan ia bukanlan satu cabaran yang besar kepada saya,” katanya yang melakukan kerja memotong kain di atas meja khas yang sesuai dengan ketinggiannya.

Tambah Nurul Izzah, perjalanannya dalam karier tukang jahit bermula ketika menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2015.

 

“Ketika itu saya fikir lebih baik saya buat sesuatu untuk mengisi masa lapang sambil menimba ilmu daripada tidak berbuat apa-apa.

“Mulanya saya mahu belajar memasak, tetapi ibu memberi galakan untuk saya menyertai kursus jangka pendek menjahit bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

“Ada juga yang menyindir sambil berkata saya tidak boleh pergi jauh kerana kekurangan ini, tetapi saya abaikan kata-kata itu dan mahu buktikan bahawa saya boleh,” katanya lagi.

Nuru Izzah berkata, dia bertuah kerana menerima bantuan daripada banyak pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan