KUCHING, 18 April: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak memberi jaminan semua agensi bekalan air di bawahnya telah membuat persiapan awal bagi menghadapi musim kering.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, ia merangkumi tiga agensi di zon selatan, tengah dan utara iaitu Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (LAS) dan LAKU Management di Miri.
Jelasnya, jika diperlukan, agensi terlibat akan melakukan proses penghantaran air ke kawasan yang kerap mengalami kemarau.
“Selain itu kementerian melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), LAK, LAS dan LAKU Management juga akan menyediakan tong-tong air di kampung, taman perumahan serta rumah panjang yang memerlukan kemudahan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Ihsan Aidilfitri KEPADA 187 penerima di bawah Dewan Undangan Negeri Pantai Damai di Kampung Selang Ulu di sini hari ini.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, selain agensi bekalan air, operasi bantuan akan turut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak.
“Sekiranya keadaan memerlukan, boleh berhubung terus dengan badan kebajikan untuk mendapatkan bekalan air kerana difahamkan mereka juga menghantar air mineral ke tempat – tempat yang memerlukan,” katanya.
Malaysia dijangka mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos susulan peralihan monsun membabitkan semua negeri. -TVS