MUKAH, 18 April: Astana Negeri Sarawak menyampaikan sumbangan kepada asnaf dan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak.
Penyampaian disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib pada Majlis Iftar Perdana sempena Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun Ke-50 UiTM Cawangan Sarawak di sini pada malam Isnin.
Pada majlis yang diadakan di UiTM Kampus Mukah, sumbangan berjumlah RM12,500 itu diberikan kepada 50 asnaf dari Mukah, Balingian, Dalat, Igan dan Oya, manakala sumbangan berjumlah RM10,000 kepada 50 orang pelajar UiTM Cawangan Sarawak.
Selain itu, sumbangan cek daripada pihak Majlis Islam Sarawak kepada wakil masjid dan surau di sekitar Bahagian Mukah berjumlah RM158,000, manakala sumbangan daripada Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Setia Raja Mukah pula kepada wakil masjid dan surau di sekitar Mukah dan Balingian berjumlah RM85,000.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Ahli Dewan Undangan Negeri Tellian Royston Valentine dan Rektor UiTM Sarawak Profesor Dato Dr Jamil Hamali. – TVS